Sunday, October 21, 2007

Tiga Bandar Paling Padat Di Malaysia


Di sini ingin saya memberi ulasan ringkas tentang populasi di bandar metropolitan utama di Malaysia sekitar tahun 1911-2000. Data yang diperolehi ini merupakan hasil laporan dalam “National Population Conference 2007” yang diadakan baru-baru ini. Namun hanya tiga bandar yang mempunyai jumlah populasi tertinggi yang ingin saya ulaskan di sini iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Klang. Bandaraya yang menduduki tangga pertama dalam senarai ini adalah Kuala Lumpur. Berdasarkan data yang ditunjukkan, bandaraya Kuala Lumpur mencatatkan jumlah populasi kira-kira 1 305 700 orang pada tahun 2000. Ini merupakan peningkatan kira-kira 160 400 orang dari tahun 1991. Pada tahun 1911, jumlah populasi di Kuala Lumpur sebanyak kira-kira 46 700 orang telah mendiami bandaraya terpadat di Malaysia ini. Bandaraya kedua yang mempunyai jumlah populasi tertinggi di Malaysia adalah bandaraya Johor Bahru. Pada tahun 2000, kira-kira 642 900 orang mendiami bandaraya ini, iaitu pertambahan sebanyak kira-kira 201 200 orang berbanding tahun 1991. Pada tahun 1911, jumlah populasi di bandaraya ini hanya sekitar 9 400 orang sahaja. Bandar yang ketiga yang mempunyai jumlah populasi tertinggi di Malaysia adalah Klang yang mempunyai jumlah penduduk seramai kira-kira 626 600 orang pada tahun 2000. Pada tahun 1991, populasi di bandar ini sejumlah kira-kira 368 400 orang iaitu pertambahan sebanyak kira-kira 258 200 orang dari tahun 1991-2000 manakala pada tahun 1911 sejumlah kira-kira 7 700 orang penduduk menetap di bandar ini.

Saturday, October 20, 2007

Tahap Urbanisasi Mengikut Negeri di Malaysia (2000)

Mengikut statistik Tahap Urbanisasi Mengikut Negeri di Malaysia bagi tahun 2000 yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, Kuala Lumpur menunjukkan 100% tahap urbanisasi bagi tahun 2000. Manakala Selangor berada di tangga kedua dengan 88.0% tahap urbanisasi. Di tangga ketiga dihuni oleh negeri Pulau Pinang dengan tahap urbanisasi sebanyak 79.5%. Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri atau wilayah yang paling tinggi tahap urbanisasi di Malaysia. Kuala Lumpur mempunyai tahap urbanisasi yang 100% sempurna adalah kerana posisinya sebagai ibu kota kerajaan Malaysia yang menempatkan pelbagai perkhidmatan, infrastruktur dan peluang pekerjaan. Selangor pula menerima tempias kemodenan Kuala Lumpur lantaran kedudukannya yang berdekatan dengan kota metropolitan itu. Pulau Pinang pula telah mula membangun berdasarkan faktor sejarah sejak negeri itu diangkat sebagai sebuah negeri dalam Negeri-Negeri Selat yang dimajukan oleh Pihak Inggeris sebagai penjajah ketika itu. Manakala tiga negeri yang mempunyai tahap urbanisasi yang terendah di Malaysia adalah Kelantan (33.5%), Perlis (33.8%) dan Kedah (38.8%). Mengikut statistik Tahap Urbanisasi Mengikut Negeri di Malaysia bagi tahun 2000 yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, Kuala Lumpur menunjukkan 100% tahap urbanisasi bagi tahun 2000. Manakala Selangor berada di tangga kedua dengan 88.0% tahap urbanisasi. Di tangga ketiga dihuni oleh negeri Pulau Pinang dengan tahap urbanisasi sebanyak 79.5%. Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri atau wilayah yang paling tinggi tahap urbanisasi di Malaysia. Kuala Lumpur mempunyai tahap urbanisasi yang 100% sempurna adalah kerana posisinya sebagai ibu kota kerajaan Malaysia yang menempatkan pelbagai perkhidmatan, infrastruktur dan peluang pekerjaan. Selangor pula menerima tempias kemodenan Kuala Lumpur lantaran kedudukannya yang berdekatan dengan kota metropolitan itu. Pulau Pinang pula telah mula membangun berdasarkan faktor sejarah sejak negeri itu diangkat sebagai sebuah negeri dalam Negeri-Negeri Selat yang dimajukan oleh Pihak Inggeris sebagai penjajah ketika itu. Manakala tiga negeri yang mempunyai tahap urbanisasi yang terendah di Malaysia adalah Kelantan (33.5%), Perlis (33.8%) dan Kedah (38.8%).

Friday, October 5, 2007

Sekapur Sireh Seulas Pinang

Di sini saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya dalam menyiapkan blog ini terutamanya kepada Prof. Hamzah dan Puan Mashitah selaku pensyarah subjek Urbanisasi dan Pembangunan Bandar yang telah banyak memberi bantuan serta tunjuk ajar kepada saya dalam menyediakan blog ini, membantu dalam menyediakan borang soal selidik yang berkualiti dan juga atas segala tunjuk ajar di dalam kuliah. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada para responden kami dari Kampung Tembioh,Kampung Kelantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Polis Kota Kechil, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi dan Hospital Kota Tinggi. Sekalung penghargaan juga saya tujukan kepada rakan-rakan saya yang banyak membantu saya dalam menyiapkan blog ini terutamanya Dida, Zaid, Kak Aisyah, Radhi, Korie, Nab, Wani dan Mira. Jasa dan bidi yang kalian hulurkan Insyaallah akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah S.W.T. Walaupun saya tidak pernah berpengalaman dalam menyediakan blog sebelum ini, namun pengalaman seperti ini amat berguna kepada saya pada masa hadapan. Diharap, para pembaca blog ini akan dapat menimba serba sedikit maklumat yang berguna tentang 'Peranan Governans Dalam Menangani Banjir Di Kota Tinggi Pada Disember 2006 Dan Januari 2007'. Semoga pengetahuan yang saya perolehi daripada subjek ini dan kerja lapangan yang dilakukan dapat dikongsi bersama bagi mementapkan lagi pengetahuan kita semua. Insyaallah...
Sekian, terima kasih. Wassalam...

Monday, October 1, 2007

Kesimpulan Kajian

Setelah selesai menjalankan kajian ini, beberapa perkara dapat kami simpulkan. Berkenaan dengan aspek bantuan, responden kami yang mewakili penduduk kampung mengakui bahawa bantuan yang diberikan oleh pihak governans adalah banyak dal pelbagai. Bantuan diterima daripada pelbagai pihak baik kerajaan mahupun swasta seperti Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi, pihak bomba, pihak polis, pihak hospital, UMNO, MCA, TV3, GIANT dan sebagainya. Pelbagai bentuk bantuan diterima seperti tempat pemindahan,wang ehsan, makanan, pakaian, tilam, selimut, ubat-ubatan dan pemeriksaan kesihatan. Kebanyakkan bantuan yang disalurkan adalah adalah sama rata. Namun begitu ada segelintir pihak yang menyalurkan bantuan kepada puak atau bangsa mereka sahaja yang bertunjangkan faktor politik.Walaupun bantuan yang disalurkan adalah melimpah ruah, namun ada segelintir mangsa yang tidak mendapat bantuan akibat beberapa kelemahan yang dipamerkan oleh pihak governans. Sebagai contoh, seorang mangsa yang kami temubual di Kampung Kelantan tidak mendapat sebarang bantuan sehingga kini lantaran masalah yang dihadapinya ketika urusan pendaftaran memohon bantuan. Seterusnya, kerosakkan struktur rumah juga menjadi dilema kepada para penduduk kampung kerana mereka terpaksa mengeluarkan wang bagi membaikpulih struktur rumah yang rosak. Kami berpeluang melihat sendiri struktur rumah yang rosak di rumah responden-responden kami. Paling menyedihkan seorang responden kami terpaksa menggunakan bahagian ruang tamunya sebagai dapur akibat dapur rumahnya yang sudah rosak teruk dan sukar untuk dibaiki lagi.Walaupun berdepan dengan pelbagai masalah ketika menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, namun tugas tersebut tetap dijalankan oleh pihak governans atas dasar tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat. Ada segelintir pihak menunding jari kearah pihak governans yang dikatakan pencetus masalah dalam operasi banjir akibat ketidakcekapan mereka dalam menjalankan tugas.. Perkara ini tidak sewajarnya berlaku dan pihak governans tidak seharusnya sahaja yang dipersalahkan. Ini kerana pihak governans telah menjalankan tugas dengan sehabis baik tanpa mengira masa dan lokasi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Namun ada segelintir pihak yang enggan berkerjasama yang menyukarkan lagi tugas mereka. Bagi meningkatkan lagi kecekapan dalam menjalankan tugas, beberapa langkah telah diambil oleh pihak governans. Antaranya penyelarasan tugas di peringkat daerah dan meningkatkan kemahiran serta menambahkan lagi pengalaman dan pengetahuan supaya misi dalam kerja menyelamat dapat dilaksanakan dengan jayanya.Sebagai langkah menangani banjir besar berlaku pada masa akan datang, pelbagai proses pembangunan telah dijalankan bagi melindungi penduduk. Ini diperkukuhkan lagi oleh data yang diperolehi dari borang soal selidik dimana 50% daripada responden yang terdiri daripada pihak governans sangat bersetuju bahawa kerja-kerja penambahbaikkan sedang rancak dijalankan oleh pihak mereka bagi menangani peristiwa hitam itu berulang lagi. Antara projek pembangunan yang dijalankan adalah projek meluruskan sungai iaitu sebuah projek Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS). Pihak Majlis Daerah Kota Tinggi juga telah mengambil langkah menaiktaraf infrastruktur seperti parit dan longkang di kawasan banjir. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak governans ini terbukti dengan peluang menyaksikan sendiri projek melebarkan sungai di Kampung Tembioh dengan mata kepala sendiri tidak dipersiakan.
.

Wednesday, September 26, 2007

Soalan Spontan Untuk Governans 2


Beberapa soalan spontan turut saya ajukan kepada responden kami yang terdiri daripada ahli bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi. Seperti masalah yang menimpa pihak Majlis Daerah Kota Tinggi, pihak bomba juga menghadapi masalah yang sama iaitu isu bot yang terhad. Walaupun mendapat bantuan daripada pihak lain seperti ATM, JPS dan pihak polis, namun terdapat juga masalah yang berlaku. Contohnya, bot dari JPS tidak mampu untuk manampung mangsa banjir dan telah tenggelam sewaktu operasi banjir dijalankan. Responden kami juga menyatakan bahawa sepanjang operasi menyelamatkan mangsa dijalankan, pihak mereka tidak mempunyai sebarang masalah kerana penduduk kampung memberikan kerjasama terhadap misi mereka. Cuma terdapat segelintir penduduk yang enggan memberikan kerjasama dan lebih menyayangi rumah atau perniagaan mereka daripada nyawa sendiri. Responden kami turut menyatakan beberapa agensi atau pertubuhan yang memberikan bantuan kepada mangsa banjir. Contohnya UMNO, MCA dan GIANT. Responden kami turut menyebut tentang Dasar MKN 20 iaitu suatu dasar tentang operasi kecemasan kerana operasi menyelamatkan mangsa banjir tidak berjalan lancar dengan sepenuhnya. Ini berikutan terdapat beberapa pencanggahan pendapat antara pihak bomba dengan agensi lain dalam operasi banjir tersebut. Seperkara yang menarik tentang temubual kami dengan pihak bomba ini adalah tentang seekor monyet yang diselamatkan oleh pihak bomba ketika banjir tersebut berlaku. Monyet tersebut seterusnya dibela oleh mereka. Malangnya kami tidak mendapat peluang untuk melihat monyet tersebut kerana monyet tersebut mati beberapa hari sebelum kedatangan kami ke balai bomba itu.

Wednesday, September 19, 2007

Soalan Spontan Untuk Governans 1

Beberapa soalan spontan turut kami ajukan kepada para responden kami. Namun di sini saya hanya ingin meringkaskan maklumat tambahan daripada soalan spontan tersebut yang saya perolehi daripada seorang responden kami yang mewakili pihak governans. Responden tesebut adalah En. Zamri bin Zakaria dari Majlis Daerah Kota Tinggi selaku Penolong Akauntan Majlis Daerah Kota Tinggi. Menurut beliau, pihak Majlis Daerah Kota Tinggi telah mempunyai jawatankuasa yang menguruskan bencana banjir. Oleh itu, apabila terdapat bencana seperti itu berlaku, jawatankuasa tersebut akan memainkan peranan. Namun begitu, itu bukanlah tugas sebenar Majlis Daerah Kota Tinggi ini kerana tugas tersebut sememangnya telah diserahkan kepada agensi-agensi lain contohnya Pejabat Daerah Kota Tinggi, pihak polis dan pihak bomba. Namun, pihak majlis daerah tetap menghulurkan bantuan sekadar yang termampu. Menurut En. Zamri lagi, pihak beliau telah diberitahu kemugkinan berlakunya banjir. Walubagaimanapun, banjir sememangnya kerap berlaku setiap tahun di daerah itu. Tetapi, tidaklah terlalu teruk sepertimana yang berlaku pada Disember 2006 dan Januari 2007. Setelah berlaku banjir besar tersebut, semua pihak menjadi kelam-kabut lantaran persiapan yang dilakukan sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya iaitu untuk menghadapi banjir seperti yang kerap berlaku sebelum ini. Mereka sememangnya tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan banjir yang lebih dahsyat dari itu. Oleh itu, wujudlah beberapa kekurangan yang dilakukan oleh pihak governans dalam menguruskan mangsa banjir. Namun begitu, masalah tersebut cepat-cepat diatasi oleh pihak governans yang menguruskan operasi banjir itu berkat usaha dan kerjasama daripada semua pihak. Beliau turut menyentuh tentang isu kelemahan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguruskan bantuan. Seperti yang telah dibincangkan di atas, kelemahan itu timbul akibat pihak JKM yang tidak meramalkan bencana banjir yang sebegitu besar berlaku. Namun begitu, kejadian tersebut di harap dapat menjadi pengalaman yang berguna kepada pihak JKM agar sentiasa bersedia dalam apa jua kemungkinan. En. Zamri juga menyatakan kepada kami berkenaan pihak kerajaan membenarkan pembelian bot sebagai langkah awal untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir besar pada masa hadapan. Ini kerana masalah ketidakcukupan bot juga menjadi dilema lantaran jumlah bot yang sedikit. Antara agensi yang mempunyai bot yang digunakan unutk operasi banjir tersebut adalah pihak majlis daerah sendiri, bomba, polis, pejabat daerah dan lain-lain. Bot ini digunakan sebagai pengangkutan utama untuk mengangkut mangsa ke tempat pemindahan dan juga untuk mengangkut barang bantuan. Masalah ketidakcukupan bot ini perlu diatasi supaya tidak ada nyawa yang terkorban akibat kelewatan bantuan menyelamatkan mangsa ke pusat pemindahan berlaku. Selain memberikan bantuan mengangkut mangsa ke tempat pemindahan, pihak majlis daerah juga memberi bantuan dalam bentuk lain iaitu pengecualian cukai pintu kepada mangsa banjir. Berita sebegini sememangnya menggembirakan hati mangsa banjir lantaran pengecualian yang diberi kerana mereka sememangnya telah dibelenggu dengan masalah kewangan akibat kerugian yang dialami apabila struktur dan peralatan rumah mereka rosak teruk.

Soalan Spontan Untuk Penduduk


Kami juga turut bertanyakan beberapa soalan spontan kepada responden kami di Kampung Tembioh. Menurut responden kami, adik Nur Shahira seorang pelajar tahun 6 di salah sebuah sekolah di Kota Tinggi menyatakan mereka sering berpindah dari satu tempat pemindahan ke satu tempat lagi. Ini berikutan tempat pemindahan yang lama dikatakan tidak mampu menampung jumlah mangsa yang terlalu ramai. Menurut adik Nur Shahira lagi, pelajar sekolah juga dibenarkan balik awal oleh pihak pentadbiran sekolah. Mereka juga diberi kelonggaran untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah ketika menghadiri sekolah. Seterusnya menurut responden kami yang seterusnya iaitu Puan Tasya, seorang isteri kepada dua orang anak, pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir adalah sempit. Berikutan masalah itu, mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan lain yang lebih besar bagi menjamin keselesaan mangsa. Menurut beliau lagi, bantuan yang dihulurkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Laksamana juga lambat sampai iaitu kira-kira 3 hari. Seterusnya, menurut responden kami En. Abd Rahman pula, pihak JKM tidak cekap dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Ini berikutan pengagihan bantuan kewangan yang tidak sama rata kepada mangsa banjir. Ada segelintir mangsa yng langsung tidak menerima sebarang bantuan kewangan akibat nama mereka yang tidak tersenarai sebagai yang layak menerima bantuan tersebut. Keluarga En. Abd Rahman telah mengambil langkah awal bagi menghadapi banjir besar pada masa hadapan dengan membeli sebuah bot yang berharga RM5000 bagi kegunaan keluarga mereka dan orang ramai. En. Abd Rahman juga telah menunjukkan kepada kami beberapa foto ketika banjir besar yang berlaku tersebut. Tidak ketinggalan beliau juga mempamerkan kepada kami beberapa foto lama iaitu foto banjir di Kota Tinggi pada tahun 1948, bangunan pejabat polis trafik, masjid dan stesen minyak Shell. Menurut responden kami yang seterusnya iaitu Puan Jamaliah Bt Ali, masalah kecurian turut berlaku dalam situasi banjir seperti itu. Buktinya rumah jiran berdekatan dengan rumah Puan Jamaliah telah dimasukki pencuri dan melarikan sebuah ketuhar elektrik dan sebuah komputer. Beliau turut menunjukkan kepada kami bahagian dapur rumah beliau yang musnah akibat banjir tersebut. Akibatnya, dapur tersebut tidak dapat digunakan lagi dan beliau terpaksa memindahkan bahagian dapur ke bahagian bilik rumah beliau. Seterusnya menurut responden kami yang berikutnya iaitu Puan Maznah Bt Ibrahim, pelbagai pihak telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Antaranya, TV3 yang telah memberi bantuan antaranya bantuan kewangan sejumlah RM500 dan juga periuk masakan. Menurut beliau lagi, bantuan yang dihulurkan tidak sama rata dan mengikut kawasan ADUN. Beliau juga mempersoalkan tentang bantuan mengangkut mangsa ke pusat pemindahan yang diberikan kerana keluarga beliau terpaksa mengharungi air yang deras tanpa ada bantuan bot daripada sesiapa. Tambahan lagi beliau terpaksa mengangkat seorang anak lelaki beliau yang kebetulan ketika itu baru lepas berkhatan. Beliau turut menceritakan kepada kami tentang mitos yang menjadi kepercayaan penduduk Kampung Tembioh berkenaan Makam Cik Siti yang lebih dikenali sebagai Cik Siti Jalang oleh penduduk kampung kerana beliau pernah berkahwin sebanyak 100 kali. Namun semua suaminya meninggal dunia kecuali suaminya yang ke-100. Menurut beliau lagi, di Makam Cik Siti terdapat meriam. Meriam tersebut dipercayai akan berbunyi petanda banjir besar akan berlaku. Namun, itu hanyalah mitos semata-mata yang mewarnai keunikan bumi Kota Tinggi ini.