Wednesday, September 19, 2007

Soalan Spontan Untuk Governans 1

Beberapa soalan spontan turut kami ajukan kepada para responden kami. Namun di sini saya hanya ingin meringkaskan maklumat tambahan daripada soalan spontan tersebut yang saya perolehi daripada seorang responden kami yang mewakili pihak governans. Responden tesebut adalah En. Zamri bin Zakaria dari Majlis Daerah Kota Tinggi selaku Penolong Akauntan Majlis Daerah Kota Tinggi. Menurut beliau, pihak Majlis Daerah Kota Tinggi telah mempunyai jawatankuasa yang menguruskan bencana banjir. Oleh itu, apabila terdapat bencana seperti itu berlaku, jawatankuasa tersebut akan memainkan peranan. Namun begitu, itu bukanlah tugas sebenar Majlis Daerah Kota Tinggi ini kerana tugas tersebut sememangnya telah diserahkan kepada agensi-agensi lain contohnya Pejabat Daerah Kota Tinggi, pihak polis dan pihak bomba. Namun, pihak majlis daerah tetap menghulurkan bantuan sekadar yang termampu. Menurut En. Zamri lagi, pihak beliau telah diberitahu kemugkinan berlakunya banjir. Walubagaimanapun, banjir sememangnya kerap berlaku setiap tahun di daerah itu. Tetapi, tidaklah terlalu teruk sepertimana yang berlaku pada Disember 2006 dan Januari 2007. Setelah berlaku banjir besar tersebut, semua pihak menjadi kelam-kabut lantaran persiapan yang dilakukan sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya iaitu untuk menghadapi banjir seperti yang kerap berlaku sebelum ini. Mereka sememangnya tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan banjir yang lebih dahsyat dari itu. Oleh itu, wujudlah beberapa kekurangan yang dilakukan oleh pihak governans dalam menguruskan mangsa banjir. Namun begitu, masalah tersebut cepat-cepat diatasi oleh pihak governans yang menguruskan operasi banjir itu berkat usaha dan kerjasama daripada semua pihak. Beliau turut menyentuh tentang isu kelemahan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguruskan bantuan. Seperti yang telah dibincangkan di atas, kelemahan itu timbul akibat pihak JKM yang tidak meramalkan bencana banjir yang sebegitu besar berlaku. Namun begitu, kejadian tersebut di harap dapat menjadi pengalaman yang berguna kepada pihak JKM agar sentiasa bersedia dalam apa jua kemungkinan. En. Zamri juga menyatakan kepada kami berkenaan pihak kerajaan membenarkan pembelian bot sebagai langkah awal untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir besar pada masa hadapan. Ini kerana masalah ketidakcukupan bot juga menjadi dilema lantaran jumlah bot yang sedikit. Antara agensi yang mempunyai bot yang digunakan unutk operasi banjir tersebut adalah pihak majlis daerah sendiri, bomba, polis, pejabat daerah dan lain-lain. Bot ini digunakan sebagai pengangkutan utama untuk mengangkut mangsa ke tempat pemindahan dan juga untuk mengangkut barang bantuan. Masalah ketidakcukupan bot ini perlu diatasi supaya tidak ada nyawa yang terkorban akibat kelewatan bantuan menyelamatkan mangsa ke pusat pemindahan berlaku. Selain memberikan bantuan mengangkut mangsa ke tempat pemindahan, pihak majlis daerah juga memberi bantuan dalam bentuk lain iaitu pengecualian cukai pintu kepada mangsa banjir. Berita sebegini sememangnya menggembirakan hati mangsa banjir lantaran pengecualian yang diberi kerana mereka sememangnya telah dibelenggu dengan masalah kewangan akibat kerugian yang dialami apabila struktur dan peralatan rumah mereka rosak teruk.

No comments: