Wednesday, September 19, 2007

Soalan Spontan Untuk Penduduk


Kami juga turut bertanyakan beberapa soalan spontan kepada responden kami di Kampung Tembioh. Menurut responden kami, adik Nur Shahira seorang pelajar tahun 6 di salah sebuah sekolah di Kota Tinggi menyatakan mereka sering berpindah dari satu tempat pemindahan ke satu tempat lagi. Ini berikutan tempat pemindahan yang lama dikatakan tidak mampu menampung jumlah mangsa yang terlalu ramai. Menurut adik Nur Shahira lagi, pelajar sekolah juga dibenarkan balik awal oleh pihak pentadbiran sekolah. Mereka juga diberi kelonggaran untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah ketika menghadiri sekolah. Seterusnya menurut responden kami yang seterusnya iaitu Puan Tasya, seorang isteri kepada dua orang anak, pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir adalah sempit. Berikutan masalah itu, mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan lain yang lebih besar bagi menjamin keselesaan mangsa. Menurut beliau lagi, bantuan yang dihulurkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Laksamana juga lambat sampai iaitu kira-kira 3 hari. Seterusnya, menurut responden kami En. Abd Rahman pula, pihak JKM tidak cekap dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Ini berikutan pengagihan bantuan kewangan yang tidak sama rata kepada mangsa banjir. Ada segelintir mangsa yng langsung tidak menerima sebarang bantuan kewangan akibat nama mereka yang tidak tersenarai sebagai yang layak menerima bantuan tersebut. Keluarga En. Abd Rahman telah mengambil langkah awal bagi menghadapi banjir besar pada masa hadapan dengan membeli sebuah bot yang berharga RM5000 bagi kegunaan keluarga mereka dan orang ramai. En. Abd Rahman juga telah menunjukkan kepada kami beberapa foto ketika banjir besar yang berlaku tersebut. Tidak ketinggalan beliau juga mempamerkan kepada kami beberapa foto lama iaitu foto banjir di Kota Tinggi pada tahun 1948, bangunan pejabat polis trafik, masjid dan stesen minyak Shell. Menurut responden kami yang seterusnya iaitu Puan Jamaliah Bt Ali, masalah kecurian turut berlaku dalam situasi banjir seperti itu. Buktinya rumah jiran berdekatan dengan rumah Puan Jamaliah telah dimasukki pencuri dan melarikan sebuah ketuhar elektrik dan sebuah komputer. Beliau turut menunjukkan kepada kami bahagian dapur rumah beliau yang musnah akibat banjir tersebut. Akibatnya, dapur tersebut tidak dapat digunakan lagi dan beliau terpaksa memindahkan bahagian dapur ke bahagian bilik rumah beliau. Seterusnya menurut responden kami yang berikutnya iaitu Puan Maznah Bt Ibrahim, pelbagai pihak telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Antaranya, TV3 yang telah memberi bantuan antaranya bantuan kewangan sejumlah RM500 dan juga periuk masakan. Menurut beliau lagi, bantuan yang dihulurkan tidak sama rata dan mengikut kawasan ADUN. Beliau juga mempersoalkan tentang bantuan mengangkut mangsa ke pusat pemindahan yang diberikan kerana keluarga beliau terpaksa mengharungi air yang deras tanpa ada bantuan bot daripada sesiapa. Tambahan lagi beliau terpaksa mengangkat seorang anak lelaki beliau yang kebetulan ketika itu baru lepas berkhatan. Beliau turut menceritakan kepada kami tentang mitos yang menjadi kepercayaan penduduk Kampung Tembioh berkenaan Makam Cik Siti yang lebih dikenali sebagai Cik Siti Jalang oleh penduduk kampung kerana beliau pernah berkahwin sebanyak 100 kali. Namun semua suaminya meninggal dunia kecuali suaminya yang ke-100. Menurut beliau lagi, di Makam Cik Siti terdapat meriam. Meriam tersebut dipercayai akan berbunyi petanda banjir besar akan berlaku. Namun, itu hanyalah mitos semata-mata yang mewarnai keunikan bumi Kota Tinggi ini.

No comments: