Wednesday, September 12, 2007

Laporan 2: Temubual Bersama Pihak Governans

Dalam sesi temubual kami dengan pihak governans sebagai maklumat tambahan, beberapa soalan telah kami ajukan. Soalan-soalan ini adalah berkisar tentang bentuk bantuan yang dihulurkan oleh pihak mereka (governans), kesulitan yang mereka alami, langkah yang di ambil bagi meningkatkan kecekapan dalam menjalankan tugas serta langkah awal yang diambil bagi menangani masalah banjir pada masa akan datang.
Isu bantuan adalah satu isu yang penting ketika banjir besar di Kota Tinggi. Ini kerana pelbagai pihak telah bergabung tenaga dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Beberapa agensi baik kerajaan mahupun swasta telah sama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Dalam temubual kami dengan pihak bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, antara bantuan yang telah mereka hulurkan adalah menyelamatkan mangsa, khidmat kemanusian, memindahkan mangsa banjir ke tempat yang lebih selamat, memberikan bantuan logistik barang ke kawasan penempatan mangsa banjir, kerja-kerja pengagihan barang bantuan dan juga menghantar pesakit yang dari kalangan mangsa banjir ke hospital. Begitu juga dengan pihak polis dari Balai Polis Kota Kechil yang turut memberi bantuan yang sama kepada mangsa banjir.
Seterusnya menurut responden kami yang mewakili Majlis Daerah Kota Tinggi, pihak mereka telah menyediakan tenaga kerja untuk urusan pemindahan mangsa banjir dan juga pusat pemindahan untuk mangsa banjir . Selain itu, pihak mereka turut menyediakan perkhidmatan pembersihan selepas banjir dan memberi bantuan pengagihan makanan untuk mangsa banjir. Seperkara yang menarik perhatian kami berkenaan bentuk bantuan yang dihulurkan oleh pihak Majlis Daerah Kota Tinggi ini adalah pengecualian cukai pintu untuk satu penggal kepada rumah-rumah yang terlibat dengan banjir. Bagi pihak Hospital Kota Tinggi pula, bantuan yg mereka hulurkan berupa bantuan logistik iaitu tilam,selimut, makanan, pakaian, tempat tinggal sementara dan ubat-ubatan serta pemeriksaan kesihatan.
Sementara itu, wakil daripada pihak Pejabat Daerah Kota Tinggi telah menerangkan kepada kami bentuk bantuan yang telah mereka hulurkan. Pihak Pejabat Daerah Kota Tinggi telah membantu dalam pengagihan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir. Antaranya bantuan paras banjir iaitu bantuan diberikan mengikut paras banjir. Selain itu bantuan warisan untuk peniaga, peralatan, makanan dan wang ehsan turut diagihkan oleh pihak pejabat daerah kepada mangsa banjir. Kebanyakkannya bantuan yang diterima datangnya dari pihak kerajaan. Selain itu, mereka turut bertanggungjawab dalam pengagihan bantuan dari pihak luar.
Namun dalam menghulurkan bantuan ini, pihak governans berdepan dengan pelbagai masalah yang menyukarkan lagi proses pembahagian bantuan kepada mangsa banjir. Menurut responden kami di Majlis Daerah Kota Tinggi, pihak mereka berdepan dengan masalah kekurangan kakitangan tenaga kerja untuk pengurusan banjir. Selain itu, bekalan makanan tidak mencukupi kerana bilangan mangsa banjir di luar jangkaan. Pendaftaran mangsa banjir juga tidak dapat dijalankan dengan teratur memandangkan pusat pemindahan juga ditenggelami air. Berbeza dengan kesulitan yang dialami oleh pihak pejabat daerah dimana terdapat penipuan oleh mangsa semasa pemberian bantu Terdapat segilintir mangsa yang tidak bertanggungjawab telah mendaftarkan nama mereka pada semua tempat pemindahan supaya memperolehi banyak bantuan. Terdapat juga mangsa yang degil untuk berpindah ke pusat pemindahan sewaktu operasi menyelamatkan mangsa dijalankan.
Kesulitan turut dialami oleh pihak bomba. Antaranya pihak bomba tidak mendapat kerjasama daripada orang awam. Selain itu, mereka juga tidak mendapat kerjasama daripada agensi-agensi lain yang menghulurkan bantuan. Kesulitan yang sama turut dialami oleh pihak polis dimana kurangnya kerjasama daripada orang awam telah menyukarkan mereka untuk memberi bantuan. Ini berikutan terdapat segelintir mangsa tidak mahu berpindah disebabkan mereka lebih menyayangi rumah, hartabenda atau premis perniagaan berbanding nyawa mereka sendiri. Sementara itu, pihak Hospital Kota Tinggi juga berdepan dengan masalah terputus hubungan dengan dengan pihak luar sewaktu bencana banjir besar berlaku yang menyukarkan mereka untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Selain itu, pentadbiran juga tidak cekap kerana mereka mendapati bantuan yang disalurkan oleh parti politik disalahgunakan.
Isu ketidakcekapan dalam menjalankan tugas oleh pihak governans masih lagi dipersoal walaupun telah sekian lama peristiwa hitam banjir besar itu berlaku di bumi malang Kota Tinggi. Ibarat kata pepatah ‘rumah sudah siap, pahat masih berbunyi’. Berminat kami untuk menyoal sendiri kepada wakil-wakil pihak governans ini berkenaan langkah awal yang diambil bagi meningkatkan kecekapan pihak mereka dalam menjalankan tugas.
Wakil dari pihak Majlis Daerah Kota Tinggi menyatakan perlu ada penyelarasan tugas di peringkat daerah. Di samping itu, agihan bantuan dan pendaftaran banjir perlu diselaraskan dan diuruskan oleh satu badan sahaja. Cadangan ini turut dipersetujui oleh responden kami dari Pejabat Daerah Kota Tinggi dimana respon yang sama juga diberikan. Seterusnya menurut wakil daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, langkah- langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan kecekapan adalah meningkatkan kemahiran serta menambahkan lagi pengalaman dan pengetahuan supaya misi dalam kerja menyelamat dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selain itu mengikuti MKN 20 iaitu satu dasar tentang operasi kecemasan, pihak-pihak lain juga harus memberi arahan dengan tepat supaya tiada pertindihan arahan berlaku.
Sebagai melengkapkan maklumat kami tentang banjir di Kota Tinggi ini, suka kami untuk bertanya kepada responden-responden kami berkenaan langkah awal yang diambil oleh pihak mereka bagi menangani masalah banjir pada masa akan datang. Menurut responden kami dari Majlis Daerah Kota Tinggi, langkah yang mereka ambil adalah menyediakan bot penyelamat dan menaiktaraf infrastruktur seperti parit dan longkang di kawasan banjir. Selain itu, pengenalpastian terhadap lokasi yang sering dilanda banjir bagi mengkaji kualiti infrastruktur di kawasan tersebut. Bagi pihak Pejabat Daerah Kota Tinggi pula, langkah awal yang diambil adalah menyediakan kapal korek pasir untuk mendalamkan sungai dan sebagainya. Selain itu, kami diberitahu bahawa Projek Jabatan Pengairan dan Sungai (JPS) iaitu projek meluruskan sungai turut dijalankan.
Sementara itu, pihak bomba pula mangambil langkah awal dengan sentiasa bersiap bersedia dalam aspek logistik agar mereka mudah ditempatkan di kawasan yang mengalami bencana. Respon yang hampir sama turut diberikan oleh pihak polis dimana mereka sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menjalankan tugas walau apa jua keadaan sekalipun agar dapat bertindak pantas dalam situasi-situasi genting seperti banjir besar. Ini adalah bersesuaian dengan slogan yang menjadi pegangan anggota-anggota polis seluruh Malaysia iaitu ‘Mesra, Cepat, Betul’. Wakil dari Hospital Kota Tinggi pula menyatakan langkah awal yang diambil oleh mereka adalah bersiap sedia dari aspek logistik dan perubatan sekiranya hujan berlarutan selama 2 hari. Selain itu, pihak hospital juga bertindak dengan menembah petugas-petugas hospital serta menambah kelengkapan untuk operasi kecemasan
.

No comments: