Sunday, September 9, 2007

Laporan 1: Temubual Bersama Penduduk

Selain daripada menjawab soalan-soalan yang terdapat di dalam borang soal selidik, kami juga turut bertanyakan beberapa soalan tambahan kepada penduduk Kampung Tembioh dan Kampung Kelantan bagi mendapatkan maklumat tambahan. Antara maklumat tambahan yang telah kami perolehi daripada sesi temubual tersebut adalah berkaitan ketidakpuasan penduduk kampung tentang pembahagian wang ehsan dimana wujud masalah dalam pembahagian wang bantuan ini oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Masalah tersebut sebenarnya berpunca daripada senarai nama mangsa yang tidak dikemaskini yang mengakibatkan ada sebilangan mangsa banjir tidak memperoleh wang bantuan tersebut akibat namanya tidak tersenarai sebagai penama manakala sebilangan lagi mendapat wang bantuan bagi dua atau tiga penama. Penduduk kampung menyampaikan hasrat kepada kami agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih cekap lagi dalam menguruskan bantuan sebegini dan juga menggunakan kemajuan teknologi yang dikecapi kini dalam menjalankan tugas mereka.Bagi isu bantuan, menurut penduduk responden kami, bantuan yang diberi adalah mencukupi hinggakan ada juga responden kami yang menyatakan bantuan yang diberi sampai berlebihan dan masih ada hingga ke hari ini. Sebagai contoh menurut responden kami bekalan beras yang diterima masih bertahan hingga ke hari ini. Tetapi yang menarik perhatian kami dalam sesi temubual dengan penduduk kampung adalah luahan mereka tentang wujudnya bias dalam pembahagian bantuan bertunjangkan fahaman politik. Walaupun masalah ini tidaklah terlalu serius namun perlu diawasi untuk mengelakkan daripada menggugat keharmonian bermasyarakat. Pada pandangan saya, masalah ini seharusnya tidak wujud dalam masyarakat Malaysia hari ini lantaran benih perpaduan yang telah sedia tersemai sejak dulu lagi.
Selain itu, isu jenayah juga turut menjadi dilema buat mangsa banjir. Ini kerana masalah kecuriaan harta benda awam turut berlaku walaupun dalam keadaan banjir sebegitu. Ini terbukti apabila ada responden kami yang menceritakan perihal rumah jiran mereka yang dimasuki pencuri akibat rumah tersebut tiada berpenghuni lagi lantaran mereka telah ditempatkan di pusat-pusat pemindahan dan kurangnya kawalan keselamatan daripada pihak yang berkaitan terhadap harta benda mangsa. Tetapi berbeza dengan data hasil kajian yang kami perolehi dimana 80% responden kami bersetuju bahawa pihak governans sentiasa memastikan keselamatan dan harta benda mangsa banjir terjamin. Oleh itu dapat disimpulkan di sini bahawa kejadian jenayah sebegitu memeng berlaku tetapi tidaklah terlalu serius dan masih lagi di bawah kawalan pihak-pihak yang berkaitan.

No comments: